(Ini entri panjang. Sila ambil notis sebelum membaca.)
Satu perkara yang aku rasa berbaloi tentang menuntut ilmu (dan membuatkan aku terus ingin menuntut ilmu) ialah bila aku dapat relate apa yang aku belajar dengan ciptaan Tuhan.
Mengetahui bagaimana saintis masih keliru tentang keunikan cahaya, dan misteri bagaimana cahaya boleh berfungsi sebagai gelombang sinusoidal biasa (ada frekuensi dan wavelength) tetapi dalam masa yang sama juga sebagai radiasi elektromagnet yang boleh diukur nilainya (pada skala fizik quantum), dan digelar sebagai photon oleh Einstein, adalah sesuatu yang sangat menarik bagi aku. Bercakap tentang photon dan fizik quantum memerlukan ilmu yang lebih mendalam dan aku juga terkebil-kebil ketika menjawab peperiksaan fizik, maka aku cuma sentuh sikit-sikit sajalah.
Perkara yang lebih unik lagi ialah bagaimana cahaya juga merupakan satu-satunya perkara yang boleh bergerak pada kelajuan cahaya (of kos la kan). Sedangkan dengan teknologi terkini yang sudah cukup canggih, saintis masih tidak mampu untuk memecutkan sebutir elektron melepasi kelajuan cahaya. Paling laju pun lebih kurang 0.99999999 kali kelajuan cahaya. Maka sebab ini lah kelajuan cahaya dianggap sebagai kelajuan ultima (ultimate speed).
Satu lagi perkara yang sangat menarik ialah teori relativiti Einstein. Ada beberapa konsekuens yang wujud hasil daripada teori relativiti ini. Salah satunya ialah
time dilation. Kalau rajin boleh lah baca. Kalau tidak rajin, biar aku ceritakan dengan analogi saja. Katanya lagi, apa-apa saja yang bergerak pada kadar yang sangat laju, akan mengalami peredaran masa yang perlahan berbanding dengan bergerak pada kelajuan normal.
Contohnya, bayangkan sebuah kapal angkasa terbang meninggalkan bumi pada kelajuan hampir dengan kelajuan cahaya. Angkasawan dalam kapal angkasa ini mengambil masa 10 tahun untuk tiba ke satu titik di angkasa lepas. Kemudian dia berpatah balek semula ke bumi, dan mengambil masa 10 tahun lagi. Maka jumlah masa yang diambil ialah 20 tahun, bukan? Tetapi apa yang menariknya, dengan menurut kiraan time dilation ini, ada 2 time frame berbeza yang terlibat dalam proses ini - satu, masa yang dialami oleh penduduk bumi dan dua, masa yang diambil oleh angkasawan dalam kapal angkasa itu (yang bergerak pada kelajuan hampir dengan kelajuan cahaya). Dengan mengambil masuk akaun (take into account) kedua-dua situasi ini, dan setelah diaplikasikan teori relativiti, didapati apabila angkasawan itu tiba semula ke bumi, masa di bumi sudah pun berlalu sebanyak 448 tahun! Walhal dia cuma mengembara di angkasa selama 20 tahun sahaja.
Ajaib bukan? Bunyinya seperti mengembara ke masa depan. Aneh, tapi inilah teori relativiti (yang diterima pakai oleh saintis zaman kini). Namun begitu, selain daripada elektron dan partikel-partikel kecil sahaja yang berjaya dipecutkan oleh saintis, hingga kini masih belum ada manusia yang mampu mengembara pada kelajuan hampir dengan kelajuan cahaya (2.99 x 10^8 m/s), apatah lagi melebihi kelajuan cahaya.
Tetapi sebenarnya kalau dikaji dengan sedikit teliti, dalam sejarah ada dinyatakan tentang manusia yang pernah mengembara selaju itu. Dan manusia itu tidak laen tidak bukan adalah Nabi Muhammad SAW sendiri. Perkara ini diceritakan dalam kisah Isra' dan Mikraj, yakni tentang pengembaraan baginda dari kota Mekah ke "masjid paling jauh" yang tidak diberi nama di dalam Al-Quran, tetapi dipercayai ramai tempat itu adalah Al-Aqsa di Jerusalem. Perjalanan itu mengambil hanya satu malam (pergi dan balik). Baginda menunggang seekor binatang dari syurga bernama "Buraq" yang dibawa turun oleh malaikat Jibril (Gabriel). Kalau diperhatikan di sini, nama "Buraq" itu sendiri bermaksud "lightning", atau "petir/kilat". Kelajuan tunggangan tersebut ada diterangkan oleh Nabi Muhammad sendiri, yakni Buraq itu boleh melangkah sejauh pandangan matanya pada setiap langkah.
Secara logiknya, sejauh pandangan mata kita adalah sangat jauh, bukan? Bayangkan apabila kita berdiri di atas gunung ganang yang tinggi kemudian kita lihat ke arah yang paling jauh boleh dilihat. Rasanya kalau naik kapal terbang pun belum tentu boleh sampai dalam masa yang singkat. Tetapi hakikatnya Buraq ini cuma mengambil satu langkah sahaja untuk pergi sejauh itu. Nah, itu baru binatang dari syurga. Bayangkan malaikat yang Allah ciptakan dari cahaya. Sudah tentulah boleh bergerak sepantas cahaya (atau mungkin lebih?).
Seperkara lagi ialah Nabi Muhammad bukan sahaja pergi dan balek begitu sahaja, malah 'diangkat ke setiap peringkat langit' (syurga), bertemu nabi-nabi terdahulu seperti Adam, Musa (Moses), Ibrahim (Abraham) dan Isa (Jesus), kemudian akhir sekali bertemu dengan Allah untuk membincangkan tentang umat akhir zaman (kita semua sekarang ni lah, tak kira bangsa dan agama). Kalau dibaca hadis-hadis yang menceritakan tentang peristiwa Isra' Mikraj ni, sebenarnya sangat panjang dan rasanya tidak mungkin perjalanan itu boleh selesai dalam satu malam sahaja.
Sebenarnya aku pun tidak pasti sangat bagaimana hendak kaitkan 100% pengembaraan Nabi Muhammad dengan teori relativiti Einstein. Cuma yang pasti, Buraq itu memang sangat laju (seperti yang diterangkan oleh baginda sendiri, kerana ketika itu mana ada ukuran kilometer atau miles per hour etc) dan aku yakin mencecah kelajuan cahaya (lebih kurang). Kemudiannya tempoh perjalanan yang sepatutnya sangat panjang boleh dihabiskan dalam satu malam saja. Oleh itu berkemungkinan besar time frame Nabi Muhammad dan time frame manusia lain (yang tidak menunggang Buraq) telah mengalami perbezaan secara relatif (mengikut teori relativiti). Oleh itu walaupun perjalanan itu mengambil masa panjang, tetapi masa 'normal' hanya berlalu sekejap saja.
Anyway, the point here is, ramai manusia di zaman Nabi ketika itu tidak percaya tentang kisah ini, malah menuduh Nabi Muhammad melakukan sihir (magic) dan lain-lain. Tetapi kita di zaman sekarang yang sudah moden dan canggih, sepatutnya boleh menerima dengan mudah tentang kisah ini (lebih-lebih lagi setiap Muslim wajib percaya kisah Al-Quran). Lebih-lebih lagi dengan adanya teori relativiti, tidak mustahil satu hari nanti mungkin teknologi dan sains dapat mencari jalan bagaimana caranya untuk manusia mengembara sepantas cahaya.
ps: Ini semua teori dari kepala aku semata-mata. Usah ambil serius sangat ya.
ps 2: Ada satu firman Allah SWT menyatakan bahawa manusia tidak mungkin melepasi lapisan langit yang ke-7 (surah mana aku tidak ingat nanti aku cuba kaji semula). Barangkali langit ke-7 yang dimaksudkan adalah Syurga ke-7 atau mungkin dunia di luar sistem cakerawala? Dan mungkin juga cara untuk melepasinya memerlukan kelajuan cahaya atau lebih tetapi manusia tidak akan mampu mencapainya?
Wallahualam. Hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi.